PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses pelantikan kehakiman seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dihormati oleh semua pihak dan tidak wajar dipertikai.
Mengulas mengenai penganjuran perhimpunan berkaitan isu kehakiman yang dijadual berlangsung Isnin ini, beliau berkata keputusan untuk berhimpun adalah hak penganjur, namun segala urusan pelantikan kehakiman tetap perlu mengikut peruntukan yang telah ditetapkan.
“Itu keputusan mereka (penganjur perhimpunan), tapi kita sudah jelaskan, Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), malah Yang di-Pertuan Agong sendiri pun sudah memberi penjelasan.
“Jadi kita ikut proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15 di sini, hari ini.
Terdahulu, Majlis Peguam dilaporkan akan menganjurkan satu perarakan aman pada 14 Julai dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu kebebasan institusi kehakiman negara.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata perarakan itu adalah manifestasi kebimbangan terhadap kekosongan jawatan penting dalam institusi kehakiman, kelewatan pelantikan, serta dakwaan gangguan terhadap proses pelantikan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menekankan bahawa sebarang cadangan untuk mengubah mekanisme pelantikan hakim harus melalui pindaan Perlembagaan.
“Kalau ada pihak yang rasa perlu ubah, cadangkanlah pindaan Perlembagaan. Tapi kita ikut proses yang telah diguna pakai selama ini,” jelas beliau.
Anwar turut menegaskan sepanjang lebih dua tahun beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah mencampuri urusan mahkamah.
“Seperti yang saya sebut sebelum ini, dalam tempoh lebih dua tahun setengah saya memimpin kerajaan, saya tidak pernah campur tangan dalam keputusan mahkamah. Itu prinsip saya.
“Yang penting adalah kita menghormati proses pelantikan dan bidang kuasa sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah dan mendengar khutbah bertajuk “Mengimani Qadar, Rahsia Berjiwa Besar”, yang disampaikan oleh Imam Ustaz Saiful Ashraf Shahrol Bahrin.
