
KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh penyanyi popular, Nurshahila Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai Shila Amzah, yang mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi legenda dalam satu insiden semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya sudah merakam keterangan daripada dua individu setakat ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut beliau, Shila membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 5.31 petang semalam.
“Setakat ini, individu yang didakwa menyerang penyanyi berkenaan masih belum dipanggil untuk memberikan keterangan. Namun, tindakan sedang diambil bagi mendapatkan keterangan daripadanya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan atau sentuhan fizikal berlaku dalam insiden berkenaan.
Semalam, media melaporkan Shila mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis terkenal bertaraf legenda ketika sesi latihan menjelang sebuah konsert.







