
KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang usahawan wanita bercuti sambil menjalankan sesi penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di Manir, di sini, bertukar mimpi ngeri apabila dia mendakwa menjadi mangsa intipan ketika berada di dalam bilik mandi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 35 tahun berasal dari Ampang, Selangor membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.09 tengah hari, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam pada Selasa lalu, apabila mangsa terlihat tangan seseorang memegang telefon bimbit di bahagian tingkap bilik mandi inap desa yang didudukinya.
“Mangsa segera menjerit memanggil suaminya yang berada di bilik tidur. Mereka kemudian keluar dan mencari di sekitar kawasan inap desa sebelum terlihat kelibat seorang lelaki berbaju T-shirt kelabu melarikan diri menaiki sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian menghubungi pemilik inap desa untuk memaklumkan kejadian.
Seorang lelaki, yang juga pekerja di premis tersebut, datang bertemu mangsa dan mengaku merakam video ketika mangsa berada di bilik mandi.
Mangsa yang memeriksa telefon bimbit lelaki itu mendapati tiada rakaman video ditemui.
Suspek mendakwa telah memadam rakaman terbabit dan menyerahkan telefon bimbitnya kepada mangsa sebagai bukti.
“Polis telah merakam percakapan suami mangsa. Pasangan itu dikatakan menyewa inap desa tersebut selama empat hari, bermula 25 Ogos hingga 28 Ogos,” katanya.
Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian adalah sebuah rumah inap desa dua tingkat yang mempunyai lima bilik tidur, dengan mangsa menginap di bilik utama.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 509 dan 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dan menceroboh kawasan persendirian, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an kini dikesan untuk membantu siasatan.