
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini melalui undian belah bahagian selepas dibahaskan secara menyeluruh oleh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU tersebut menerima sokongan daripada 125 Ahli Parlimen, manakala 63 menolak, seorang tidak mengundi dan 32 lagi tidak hadir.
Kelulusan itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang turut menolak gesaan pembangkang agar RUU berkenaan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sebelum diluluskan.
“Jawatankuasa perlu membuat permohonan rasmi kepada kementerian yang terlibat selepas bacaan pertama untuk meneliti sesuatu RUU. Saya telah semak dan tiada permohonan diterima, maka permintaan itu tidak berbangkit,” jelas Johari semasa mempengerusikan sidang.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membentangkan matlamat dan perincian RUU itu semalam, disusuli perbahasan oleh 21 Ahli Parlimen mewakili kedua-dua blok.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan kebimbangan berhubung peruntukan tertentu dalam RUU yang didakwa memberikan terlalu banyak kuasa kepada Menteri Kewangan, khususnya di bawah Fasal 28(2) yang berkaitan dengan kaedah perolehan selain terbuka dan bersaing.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ketika sesi penggulungan menolak dakwaan kononnya RUU itu dibentangkan secara tergesa-gesa.
“Usaha penggubalan RUU ini telah dimulakan sejak 2018. Proses libat urus telah dijalankan secara meluas melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, justeru rujukan khusus kepada Jawatankuasa Pilihan Khas tidak diwajibkan,” katanya.
RUU Perolehan Kerajaan 2025 mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal, dengan objektif utama untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam proses perolehan kerajaan.
Antara komponen utama RUU ini termasuk:
Menetapkan tanggungjawab penuh kepada semua pihak yang terlibat dalam perolehan dana awam.
Mencegah amalan rasuah dan ketirisan dalam penggunaan wang rakyat.
Memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menetapkan kaedah perolehan alternatif, tertakluk kepada kriteria dan kawal selia yang ketat.
Menubuhkan Panel Kajian Semula di setiap agensi pelaksana perolehan kerajaan.
Menubuhkan Tribunal Rayuan Perolehan sebagai badan bebas di bawah Kementerian Kewangan bagi menyemak sebarang keputusan berkaitan perolehan.
Amir Hamzah turut menegaskan peruntukan kawalan baharu seperti kewajiban membawa kes ketidakpatuhan ke panel kajian semula dan tribunal adalah antara penambahbaikan besar yang tidak wujud sebelum ini.
“RUU ini membawa perubahan struktur dalam sistem perolehan kerajaan, dengan tumpuan kepada pemantauan, semakan keputusan dan tindakan punitif yang telus,” katanya.







