
KUALA LUMPUR: Malaysia komitet perangi Islamofobia di peringkat antarabangsa melalui pelbagai saluran, termasuk sumbangan kewangan kepada inisiatif agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan Malaysia secara konsisten menyumbang AS$50,000 (RM140,000) setiap dua tahun kepada Tabung Amanah Sukarela Perikatan Tamadun-Tamadun PBB (UNAOC) bagi menyokong pelaksanaan program menentang Islamofobia melalui pendidikan, dialog dan pembabitan belia di peringkat antarabangsa.
“Sejak 2009, jumlah keseluruhan sumbangan Malaysia mencecah AS$410,000. Bagi tempoh 2023–2024, dana terbabit membolehkan UNAOC membiayai tiga projek belia berimpak tinggi di Malawi, Indonesia dan Bosnia dan Herzegovina.
“Projek ini menekankan pemupukan toleransi antara agama, penangkisan stereotaip negatif terhadap Islam serta pemerkasaan belia sebagai pemimpin keamanan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai ketegasan Malaysia terhadap peningkatan Islamofobia di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, antara kesan ketara sumbangan terbabit ialah pembabitan lebih 1,100 individu, majoritinya belia, dalam program pendidikan, kempen digital dan dialog rentas agama; pembangunan bahan latihan yang dimanfaatkan lebih 10,000 orang; serta pembentukan rangkaian kerjasama antara komuniti Islam, Kristian dan Buddha selepas projek berakhir.





