
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mengumumkan keputusan menarik balik rayuan terhadap pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Wan Saiful, antara pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sehingga membawa kepada pemecatan pada Oktober tahun lalu ialah dakwaan beliau mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif serta Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun, beliau mendakwa tindakan sama kini dilakukan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
“Perkara inilah yang beliau tulis dalam suratnya kepada presiden-presiden parti dalam PN,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Wan Saiful sebelum ini dipecat daripada Bersatu pada 14 Oktober 2025 susulan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Muhyiddin sebagai Presiden parti.
Dalam surat penarikan balik rayuan yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti, Wan Saiful memaklumkan sekiranya rayuannya dinilai sepenuhnya berasaskan merit, keputusan paling munasabah ialah membatalkan pemecatan serta mengembalikan hak dan jawatannya.
“Saya merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Lembaga Rayuan yang pada pandangan saya bersikap profesional dan telus, berbeza dengan sikap ahli Lembaga Disiplin,” dakwanya.
Wan Saiful turut mendakwa Bersatu tidak mempunyai masa depan di bawah kepimpinan Muhyiddin.
Menurutnya, parti tersebut didakwa semakin terpengaruh dengan Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali, sehingga menyimpang daripada agenda rakyat.
“Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Tan Sri Muhyiddin merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Keadaan ini menyebabkan Bersatu lari jauh daripada agenda rakyat kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi,” katanya.







