
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kluster baharu Tuberkulosis (tibi) dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lalu dengan Johor merekodkan jumlah kes tertinggi, iaitu 37 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kes di Johor membabitkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa, dengan indeks kes bagi salah satu kluster dikenal pasti melibatkan seorang wanita berusia 72 tahun di Kota Tinggi.
Katanya, daripada keseluruhan kes berkenaan, 36 kes dikesan secara aktif hasil inisiatif pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turun ke lapangan bagi menjalankan ujian serta pengesanan kontak rapat.
“Sehingga 7 Februari, pengesanan kontak rapat telah mengenal pasti seramai 903 individu yang menjalani saringan. Mereka yang mempunyai simptom terus diberikan rawatan di fasiliti KKM.
“Semua kes yang dilaporkan telah memulakan rawatan dan dipantau melalui kaedah rawatan pemerhatian langsung (DOTS) secara harian di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini mengenai status terkini kluster tibi mengikut negeri, jumlah kes aktif yang masih dipantau serta langkah saringan dan kawalan bagi mencegah penularan.
Dzulkefly memaklumkan Selangor mencatatkan kes kedua tertinggi dengan 10 kes melibatkan empat kluster, diikuti Sabah dengan lima kes daripada satu kluster, Pahang (empat kes, satu kluster) serta masing-masing dua kes melibatkan satu kluster di Kedah, Kelantan dan Perlis.
Beliau berkata, KKM melaksanakan saringan simptom melibatkan tanda-tanda seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, penurunan berat badan secara mendadak serta pemeriksaan klinikal paru-paru.
Menjawab soalan tambahan berhubung keberkesanan imunisasi dalam menangani tibi, Dzulkefly berkata imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Kebangsaan menunjukkan hampir 99 peratus kanak-kanak di negara ini telah menerima imunisasi.
“Daripada hampir 500,000 kelahiran yang didaftarkan setiap tahun, liputan imunisasi bagi melindungi jangkitan tibi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.





