
Seramai 21,000 rakyat terdiri daripada komuniti di sepanjang jajaran lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerima manfaat menerusi Hari Komuniti MyPLUS yang dijalankan serentak di 25 lokasi terpilih.
Program tersebut merupakan satu daripada aktiviti tanggungjawab korporat (CSR) berskala mega yang menyaksikan seramai 80,000 masyarakat sudah menerima manfaatnya sejak kali pertama diperkenalkan pada 2013.
Menteri Kerjara Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program itu melibatkan sejumlah projek kemasyarakatan yang dijayakan lebih 1,250 sukarelawan terdiri daripada warga kerja PLUS dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan penglibatan komuniti setempat.
“Saya dimaklumkan program kali ini menampilkan sedikit kelainan iaitu melibatkan kerja sama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi program MYJalan.
“Menerusi aplikasi aduan MyJalan, sebanyak 95.3 peratus aduan berkaitan kerosakan jalan raya di bawah seliaan kementerian dapat ditangani dan diselesaikan.
“Penggunaan teknologi seperti ini tentunya memudahkan rakyat dan saya menyeru pihak sekolah, guru-guru dan juga ibu bapa untuk memuat turun Aplikasi MyJalan dan menyalurkan sebarang aduan berkaitan infrastruktur jalan raya secara terus agar tindakan segera dapat diambil,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan HICOM, Seksyen 27, Shah Alam, dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi PLUS, Datuk MOhamad Nair A. Latif berkata, Hari Komuniti MyPLUS yang diadakan merupakan acara tradisi bagi agensi tersebut dengan menyifatkannya sebagai program yang menggalakkan budaya sukarelawan dan memupuk semangat berpasukan serta daya kreativiti tinggi.
Katanya, PLUS sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan komuniti.
“Porgram ini melibatkan beberapa aktiviti di lapan sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi.
“Antara aktiviti yang dijalan adalah kerja membaik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan dan papan tanda tunjuk arah, pemasangan lampu jalan, mengecat lintasan pejalan kaki dan penanda jalan, membaik pulih jalan, pembaikan pendawaian elektrik, membaik pulih sistem perparitan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, PLUS secara berterusan akan melaksanakan pelbagai program CSR yang fokus kepada keselamatan jalan raya.
Hari Komuniti MyPLUS kali ini turut disertai 500 pelajar dari sejumlah IPT termasuk Universiti Multimedia (MMU), Kolej Komuniti Klang, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).