
KUALA LUMPUR: Lelongan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan untuk pengimport tenaga Singapura, di bawah Energy Exchange Malaysia (ENEGEM), dijangka bermula menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jelas beliau, melalui usaha mengintegrasikan grid kuasa serantau, negara menyasarkan untuk mengukuhkan keselamatan tenaga di seluruh negara anggota ASEAN.
“Seterusnya kepada grid bersepadu serantau, ia juga boleh berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh diperbaharui merentas sempadan.
“Dengan berkongsi lebihan tenaga, negara boleh mengurangkan kadar kebergantungan kepada bahan api fosil sambil membina infrastruktur tenaga ASEAN bersepadu,” katanya dalam ucapan merasmikan Sustainability Environment Asia (SEA) Ke-2, di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), mengesahkan penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat, dengan tiada loji janakuasa arang batu baharu akan diwujudkan.
Beliau memetik pendirian jelas Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa mengurangkan kebergantungan arang batu adalah penting untuk mengehadkan pemanasan global dan menekankan komitmen Malaysia terhadap objektif ini.
“Kami akan terus meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dan membangunkan grid pintar, mendigitalkan sistem kuasa dan mengembangkan sistem storan tenaga.
“Menjelang 2035, kami menyasarkan meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus, membolehkan penyepaduan yang lebih besar bagi sumber tenaga boleh diperbaharui,” tambahnya.
Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, kerajaan menyasarkan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada kapasiti kuasa terpasang Malaysia kepada 70 peratus menjelang 2050, meningkat daripada 28 peratus.
Sementara itu, beliau menggariskan rancangan untuk menstruktur semula perkhidmatan air Malaysia sepanjang dekad akan datang dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia.
“Sehingga 2023, 97.1 peratus kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses kepada bekalan air, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 86.9 peratus bandar utama.
“Malaysia menyasarkan 98 peratus liputan air bersih luar bandar dan 31 peratus kadar air tidak terhasil menjelang 2025 melalui Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM),” katanya.
Malaysia kekal komited memupuk persekitaran yang sihat, memacu kemakmuran ekonomi, dan meningkatkan kualiti hidup untuk rakyatnya dan generasi akan datang.