Jabatan Muzium angkat warisan telepuk
KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas.
Pameran eksklusif yang dirasmikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dibuka kepada orang awam bermula 28 Oktober sehingga 31 Disember 2024 di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur.
Pameran ini memperagakan sebanyak 49 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan empat penerbitan berupa manuskrip dan buku milik Jabatan Muzium Malaysia, Pergerakan Langkasuka, muzium-muzium negeri, agensi dan orang perseorangan.
Menariknya pemeran ini turut mempersembahkan koleksi telepuk masterpiece milik kerabat diraja seperti koleksi baju sikap, kain setangan dan kain sarung.
Menteri KPN, Datuk Aaron Ago dalam sembah ucapannya berkata, pameran ini diadakan bertujuan untuk mengangkat dan mengetengahkan seni telepuk, iaitu salah satu khazanah warisan negara yang mencerminkan citra budaya Malaysia.
Hal ini bertepatan dengan dasar Kementerian Perpaduan Negara melalui Program Ini Warisan Kita yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini.
Tambah beliau lagi, memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman, bukan sesuatu yang mudah pada era serba moden ini namun usaha ini tidak mustahil dapat direalisasikan secara kolektif seperti pameran seumpama ini.
Beliau juga berkata Memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman, bukan sesuatu yang mudah namun tidak mustahil dapat direalisasikan secara kolektif melibatkan semua pihak sama ada daripada golongan pemimpin hingga ke rakyat biasa.
Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’.
Pameran ini juga disemarakkan lagi dengan penganjuran beberapa program antaranya bicara@muzium dan demonstrasi telepuk serta program sisipan seperti pertandingan lukisan seni telepuk, pertandingan produk seni telepuk dan aktiviti mingguan bagi kanak-kanak.
Aktiviti-aktiviti ini khusus untuk memperkenalkan seni telepuk dan melahirkan artisan baharu yang mampu menghidupkan semula kesenian ini.