
LANGKAWI: Sebanyak 27 kucing mati dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Gaung, Mukim Ulu Melaka di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, semua kucing berkenaan yang dipelihara di dalam sangkar ditemui mati manakala tiga lagi diselamatkan.
Pemilik rumah seorang wanita ditemui pengsan, manakala seorang lelaki melecur kira-kira 30 peratus dalam kejadian tersebut.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abd. Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.47 pagi.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 27 kucing di dalam rumah ditemui mati manakala tiga lagi dapat diselamatkan.
“Kebakaran dikawal pada pukul 9.58 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.52 pagi,” katanya.






