
KUALA LUMPUR: Kegagalan polis mengambil tindakan tegas terhadap kes yang melibatkan sensitiviti agama berpotensi menjejaskan kestabilan negara serta menggugat keharmonian antara kaum.
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, penguatkuasaan undang-undang secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih amat penting bagi memastikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia terus terpelihara.
Katanya, walaupun tindakan pantas pihak berkuasa mendakwa individu yang melakukan perbuatan tidak menghormati al-Quran wajar dipuji, pendekatan sama juga perlu diambil dalam kes melibatkan simbol suci agama lain, termasuk ‘soolam’ atau trisula yang dihormati dalam agama Hindu.
“Kegagalan mengambil tindakan sewajarnya dalam isu sensitif sebegini boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan sekali gus mengancam kestabilan negara.
“Baru-baru ini kita melihat kurangnya tindakan terhadap pihak yang menyebarkan kebencian kaum sehingga menimbulkan ketegangan yang boleh mengancam kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Gobind, perkara berkenaan turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan kerajaan telah menyatakan pendirian yang jelas berhubung isu tersebut.
Katanya, agensi penguatkuasaan perlu memastikan pendirian itu dilaksanakan secara tegas dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengambil langkah segera bagi mengenal pasti serta membawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencemarkan simbol agama.
“Malaysia tidak boleh dibiarkan terjerumus ke dalam keadaan tanpa undang-undang atau pergolakan kaum. Polis mesti bertindak segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang sebelum ini terlibat dalam kempen menentang sebuah kuil Hindu yang didakwa tidak sah memaklumkan dia tidak menyedari objek yang disentuhnya merupakan simbol agama.
Menurutnya, ketika kejadian dia memberi makan monyet liar berhampiran sebuah gua di Langkawi sebelum ternampak sebatang besi tajam yang disangkanya hanya besi berkarat.
Dia mendakwa tidak mengetahui ia merupakan ‘soolam’, iaitu simbol suci dalam agama Hindu, kerana kawasan tersebut bukan merupakan tempat ibadah.




