
PETALING JAYA: Jumlah trafik di Lebuhraya Plus Malaysia Berhad (PLUS) dijangka mencecah 2.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena Hari Raya Aidilfitri meningkat 21 peratus berbanding purata harian.
Pengarah Urusannya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, hari puncak dijangka pada 18 hingga 20 Mac sebelum Aidilfitri serta 27 hingga 29 Mac selepas sambutan.
“Trend berkenaan selari dengan peningkatan trafik yang dicatatkan sempena Tahun Baharu Cina lalu apabila jumlah kenderaan pada waktu puncak sehari, melebihi dua juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat dan Sidang Media Persediaan PLUS menguruskan peningkatan trafik sempena musim Hari Raya 2026 di PERSADA PLUS, di sini, hari ini.
Nik Airina meminta orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang berpandukan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS.
Beliau berkata, MyPLUS-TTA boleh diakses bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai-Timur 2 (LPT2) di antara 18 Mac hingga 30 Mac 2026.
“Berdasarkan trend perjalanan perayaan lalu dan jangkaan trafik musim perayaan tahun ini, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh waktu perjalanan lebih panjang semasa musim perayaan sekiranya memulakan perjalanan di luar waktu dicadangkan oleh MyPLUS TTA.
“Namun, ia bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal-hal luar jangka,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal selain mematuhi cadangan waktu perjalanan MyPLUS-TTA.
Katanya, pengguna juga perlu memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan dan memandu dengan berhemah.







