
GEORGETOWN: Dua pekerja taska di kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang direman dalam siasatan kematian bayi empat bulan didapati tidak mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, peraturan Jabatan Kebajikan Masyarakat mewajibkan semua petugas pusat jagaan mengikuti kursus itu bagi memastikan standard penjagaan dipatuhi.
“Berdasarkan siasatan JKM, terdapat tujuh petugas di taska itu dan 44 kanak-kanak berusia empat tahun, termasuk bayi lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu dihantar ke taska berkenaan yang beroperasi 24 jam sehari.
“Pemeriksaan juga mendapati tujuh petugas, termasuk dua wanita yang ditahan itu tidak mengikuti KAP yang sememangnya diwajibkan kepada petugas TTPJ.
“Hakikatnya masih terdapat pengasuh yang diambil bekerja di TTPJ, khususnya pengambilan baharu yang belum memenuhi syarat terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, dua wanita berumur 22 tahun yang juga pengasuh di taska berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Siew Khim berkata, hasil pemeriksaan mendapati taska terbabit berdaftar secara sah serta mematuhi syarat berkaitan pendaftaran dan National Integrated System of Childcare (NISPA) dan telah beroperasi sejak empat tahun lalu.
Sehingga kejadian itu, beliau menjelaskan, JKM tidak pernah menerima sebarang aduan oleh ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke taska terbabit.
“JKM mengarahkan taska terbabit ditutup bermula pada hari kejadian, iaitu 9 Mac lalu dan tidak dibenarkan beroperasi sementara sehingga siasatan polis selesai.
“Penutupan sementara adalah di bawah Seksyen 16 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984,” katanya.





