
KUALA LUMPUR : Suami pelakon Miera Liyana, Rosland Othman memohon Mahkamah Sesyen di sini agar menetapkan jumlah ikat jamin yang lebih rendah selepas didakwa menyebabkan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) kira-kira lima tahun lalu.
Peguamnya, S. Shastidaran, memaklumkan anak guamnya, diisytiharkan muflis pada 2023 dan kini berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis, glaukoma serta gangguan saraf.
Menurutnya, keadaan kesihatan tersebut selain tanggungan keluarga yang ramai menjadi antara faktor yang wajar dipertimbangkan mahkamah.
“Dengan keadaan kesihatan serta tanggungan keluarga yang besar, saya memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guam diikat jamin pada jumlah yang lebih rendah dan munasabah,” katanya.
Bagaimanapun, ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu yang ketika kejadian merupakan pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad didakwa menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berkaitan hal ehwal syarikat tersebut.
Pernyataan palsu itu didakwa terkandung dalam dokumen Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 September 2021.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan pada 30 September 2021.





