
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti beberapa langkah penjimatan penggunaan tenaga di pejabat kerajaan termasuk memperluas amalan bekerja dari rumah (WFH) dalam kalangan penjawat awam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah tersebut telah dilaksanakan di beberapa negara jiran seperti Thailand dalam usaha mengurangkan kos operasi kerajaan.
“Pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan negara-negara jiran dalam mengambil langkah penjimatan tenaga dan keselamatan malah perlu mengambil langkah yang sama.
“Ia bukan satu krisis tetapi perlu mengambil langkah pencegahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat termasuk ketegangan antara Iran dan Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Mac 2026 dan Majlis Berbuka Puasa Kesuma di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan menambah, KESUMA turut menyokong keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka Aidilfitri membabitkan kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun ini.
Katanya, langkah penjimatan tersebut adalah perlu dalam memikirkan tentang kesejahteraan rakyat.
“Dana yang dikeluarkan kelak untuk sambutan sempena Hari Raya Aidilfitri boleh digunakan untuk membantu rakyat. Ini kerana rakyat adalah keutamaan.
“Penjimatan ini adalah langkah preventif pertama malah kerajaan perlu menunjukkan contoh kepada rakyat dalam mengamalkan perbelanjaan secara berhemah,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua kementerian, jabatan kerajaan, agensi, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.
Ramanan turut memaklumkan satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan Jumaat ini bagi meneliti kedudukan fiskal negara, selain memantau perkembangan semasa khususnya impak ekonomi secara lebih dekat.







