
KUALA LUMPUR: Bahang aksi Manchester United bertemu ASEAN All Stars Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok semakin dirasai apabila hampir 500 peminat ‘tegar’ Manchester United membanjiri The Exchange TRX hari ini untuk melihat bintang kesayangan mereka dengan lebih dekat.
Antara bintang sensasi Red Devils yang hadir, termasuk kapten mereka, Bruno Fernandes, Kobbie Mainoo, Manuel Ugarte, Amad Diallo, Harry Amass dan Alejandro Garnacho.
Sudah pasti penyokong-penyokong setia The Red Devils itu tidak melepaskan peluang bergambar dan mengambil tandatangan pemain-pemain bertaraf dunia tersebut.
Suasana di pusat beli-belah bertukar gegak gempita dan meriah apabila para peminat tidak ketinggalan bersorak sambil menyanyikan lagu ‘Glory Glory Manchester United’.
Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di SNBJ.
Terdahulu, pasukan gergasi England itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 6.30 petang semalam sejurus tamat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/2024 dengan kemenangan ke atas Aston Villa 2-0 kelmarin.
Juara EPL 13 kali itu juga akan berkunjung ke Hong Kong untuk menentang pasukan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini.







