KUALA LUMPUR: Sebanyak 79 daripada 1,022 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak Januari hingga September tahun ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, isu integriti dalam PDRM masih memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.
Beliau turut mengingatkan warga PDRM terus memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan pengawasan dalaman bagi memastikan pasukan kekal bebas daripada salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan.
“Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, menjadi tanggungjawab kita memastikan integriti sebagai teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2025 di Maktab PDRM hari ini.
Mohd Khalid berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut merekodkan 1,523 kertas siasatan tatatertib yang telah dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk 47 kes melibatkan rasuah.
Katanya, PDRM komited dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS-PDRM) yang berpaksikan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan untuk memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha pembanterasan rasuah dalam pasukan.
