
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan kesediaannya membantu penggantinya selepas tamat tempoh penggal kedua jawatan senator beliau pada 2 Disember ini.
Katanya, hasrat tersebut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau kini menunggu keputusan berhubung pelantikan kepimpinan baharu bagi menerajui kementerian berkenaan.
“Sesiapa pun menteri seterusnya perlu mengambil alih sepenuhnya. Apa yang saya boleh lakukan ialah membantu menteri itu sepanjang tempoh peralihan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai calon pilihan untuk menggantikannya, Tengku Zafrul berkata, “Secara jujur, saya boleh kata tiada.”
Dua penggal jawatan senator Tengku Zafrul yang bermula pada Disember 2020 dan diperbaharui tahun lalu akan tamat pada 2 Disember ini.
Beliau tidak lagi boleh menyertai Jemaah Menteri kecuali dilantik sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang.
Mengulas isu lain, Tengku Zafrul menegaskan Amerika Syarikat (AS) perlu berpegang kepada perjanjian yang dimeterai di bawah pakatan ASEAN-AS, susulan kes tarif yang dibicarakan di mahkamah negara itu.
“Apabila anda menandatangani perjanjian, anda perlu mempunyai niat yang betul. Jika strategi anda ialah menunggu sesuatu di luar kawalan anda berlaku sebelum mengesahkannya, itu tidak jujur,” tegasnya.
Isnin lalu, Presiden Donald Trump mendakwa AS bakal berdepan bencana ekonomi dan keselamatan negara sekiranya Mahkamah Agung menolak penggunaan undang-undang kuasa darurat bagi mengenakan tarif menyeluruh terhadap hampir semua negara.
Trump turut mencadangkan pembayaran sebanyak AS$2,000 kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menggunakan dividen tarif, manakala baki hasil akan digunakan untuk mengurangkan hutang negara itu.
Namun, semasa sesi hujah lisan minggu lalu, beberapa hakim Mahkamah Agung AS mempersoalkan kuasa Trump mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa 1977, yang tidak menyebut secara khusus mengenai tarif.
Sementara itu, mengulas cadangan memperluas Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura untuk merangkumi Indonesia, Tengku Zafrul memaklumkan rundingan awal antara tiga negara sudah dimulakan.
“Ketiga-tiga negara bersetuju mengkaji perkara ini. Kami kini menunggu pegawai kanan menyelesaikan penilaian terhadap potensi impaknya.
Secara logiknya, ia wajar diteruskan kerana hasilnya positif, namun biarlah kajian itu disiapkan terlebih dahulu,” katanya.
Kajian pelan tindakan SEZ Johor-Singapura dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2026.




