
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim gering akibat kesakitan musculoskeletal yang melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat sepenuhnya dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara yang berlangsung kelmarin,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim, yang dijadualkan semalam, turut ditangguhkan ke tarikh lain.
Istana Negara menegaskan Seri Paduka Baginda bertitah akan kembali menghadiri majlis-majlis rasmi sebaik kesihatannya beransur pulih.





