
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang berlangsung pada 6 Oktober hingga 18 Disember tahun lepas.
Akta-akta yang diperkenankan termasuk Akta Perikanan (Pindaan) 2025; Akta Pekerja Gig 2025; Akta Kredit Pengguna 2025; Akta Perbekalan 2026; Akta Kewangan 2025; Akta Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025; Akta Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 serta Akta Antibuli 2025.
Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bermula pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan ketika berada dalam dewan.
“Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti yang diikrarkan tadi apabila berada dalam Dewan yang mulia ini, dalam setiap tindakan dan ucapan Ahli-ahli Yang Berhormat.
“Di samping itu, Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam telah memberi peringatan mengenai peranan Ahli Yang Berhormat.
“Oleh itu, saya sekali lagi mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.
Johari berkata, beliau bersama Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang didapati tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 menegur Ahli-ahli Parlimen, khususnya berhubung larangan memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R), termasuk dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.





