
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan rasa kecewa berhubung kes rasuah yang melibatkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sehinggakan titah baginda tidak mustahil pangkat lain seperti sarjan bakal dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Baginda bertitah, rasuah adalah musuh utama pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat sambal menyifatkan penjawat awam yang terbabit merupakan pengkhianat.
“Suka saya ingatkan di sini segala perancangan dibuat tak akan sempurna kalau amalan rasuah masih berleluasan, saya pernah sebut dulu saya datang ke Kuala Lumpur untuk buru perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia, sehingga ke peringkat tertinggi, agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera,” titahnya.
Seri Paduka bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.
Baginda turut menekankan bahawa kes rasuah dalam ATM hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes rasuah di negara ini.
“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam dewan ini akan diburu sampai jumpa.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Baginda menekankan kerajaan menyediakan hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.





