
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Ali Umar Yaqoub Abbasi, mengadakan perbincangan mengenai Masjid Al-Aqsa dan masa depan Al-Quds di Putrajaya.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman Facebook berkata, perbincangan itu diadakan semasa beliau menerima kunjungan Sheikh Ali Umar di pejabatnya.

“Selain itu, perbincangan turut menyentuh keprihatinan berterusan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha kita dan menguatkan tekad kita untuk terus berdiri bersama saudara-saudara kita di Palestin dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran itu.
Pada Isnin lalu Sheikh Ali Umar bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan.






