
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menerima kunjungan legenda bola sepak Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil, dalam satu pertemuan di Istanbul, Turkiye.
Melalui hantaran Facebooknya, Anwar berkata, beliau sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan Ozil mengenai pelbagai perkara termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
Beliau yang merupakan penyokong Manchester United menambah, Ozil kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Türkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan.
“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau.
“Saya mengambil kesempatan menjemput beliau ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman terkait bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat,” katanya.
Ozil yang dilahirkan pada 15 Oktober 1988 di Gelsenkirchen, Jerman merupakan antara pemain tengah paling berbakat dalam era moden bola sepak.
Figura yang pernah menjulang Piala Dunia bersama Jerman pada 2014 itu, cukup terkenal dengan visi permainan luar biasa, hantaran tepat dan kebolehan mencipta peluang jaringan.
Antara kelab yang pernah mendapat sentuhan maestro itu termasuk Arsenal, Real Madrid, Werder Bremen, Schalke 04 dan Fenerbahce.






