
KUALA LUMPUR: Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua.
Demikian reaksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO menerusi hantaran di Facebook malam semalam turut melahirkan rasa syukur dengan keputusan AGC itu.
“Syukur Alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” katanya.
Terdahulu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.
Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang.
“Ia mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan dan keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya dalam kenyataan semalam.
AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
“Penelitian ini dibuat dengan mempertimbangkan perkara seperti skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” katanya.
Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.
Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Berikutan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana tersebut.






