
KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati satu hari cuti gantian pada 2 Februari ini bersamaan dengan hari Isnin.
Ia berikutan terdapat pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam pada 1 Februari yang jatuh hari Ahad.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan, ia selaras Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.
“Walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari juga pada 2 Februari,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, siaran media mengenai cuti umum bagi pekerja swasta yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 31 Disember lalu tidak terpakai kepada penjawat awam.






