
KUALA LUMPUR: Legenda futsal negara, Addie Azwan Zainal dilantik sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu menggantikan Rakphol Sainetngam.
Pengendali dari Thailand, Rakphol tidak memperbaharui kontrak sebagai ketua jurulatih futsal Harimau Malaya yang berakhir pada 31 Disember 2025 untuk kembali ke negara asalnya sebagai ketua jurulatih futsal Thailand yang baharu.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Addie Azwan merupakan penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan sejak Rakphol membimbing skuad futsal Harimau Malaya bermula pada Ogos 2023.
“Dia adalah calon paling sesuai dan layak untuk membimbing skuad futsal Harimau Malaya ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia dari 27 Januari hingga 7 Februari 2026 memandangkan cukup mengenali pemain sedia ada dan memahami falsafah permainan yang telah diterapkan Rakphol sebelum ini.
“Sepanjang kariernya sebagai pemain futsal kebangsaan dari tahun 2002 hingga 2010, Addie Azwan sehingga kini masih memegang rekod sebagai pemain paling banyak caps dan penjaring terbanyak keseluruhan skuad futsal Harimau Malaya,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Addie Azwan memiliki pengalaman selama 15 tahun dalam bidang kejurulatihan bermula sebagai penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan kepada dua ketua jurulatih iaitu Maizal Hairi Marzuki dari 2011 hingga 2013 dan Marcelo Serpa dari 2013 hingga 2016.
Selain itu, ujarnya lagi, Addie Azwan yang berusia 46 tahun pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih futsal wanita kebangsaan pada tahun 2018.
“Sebagai ujian sulung Addie Azwan selaku ketua jurulatih futsal Harimau Malaya pada Piala Asia Futsal 2026, Malaysia akan berdepan Iran pada 28 Januari, Afghanistan pada 30 Januari dan Arab Saudi pada 1 Februari 2026 bagi tiga aksi Kumpulan D.
“Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir pada 3 Februari, seterusnya separuh akhir pada 5 Februari dan final pada 7 Februari 2026,” katanya.







