
KUALA LUMPUR : Akaun Fleksibel muncul sebagai “talian hayat” kewangan apabila majoriti pengeluaran dilakukan untuk keperluan mendesak, bukannya pilihan.
Dapatan penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan tema ‘Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel sebagai Garis Keselamatan Kewangan untuk Kesejahteraan’ menunjukkan kemudahan ini paling banyak dimanfaatkan oleh golongan bekerja pertengahan usia, pencarum aktif, berpendapatan rendah serta bumiputera.
Lebih ketara, corak pengeluaran jelas berkait dengan tekanan kos sara hidup apabila ia digunakan berulang kali untuk menampung aliran tunai harian.
Malah laporan itu menyebut, perbelanjaan asas seperti keperluan harian, rawatan kesihatan dan pembayaran hutang mencatatkan penggunaan tertinggi merentas semua segmen, sekali gus mengukuhkan peranan Akaun Fleksibel sebagai sokongan kritikal dalam situasi kewangan yang mendesak.
“Walaupun keutamaan perbelanjaan asas adalah hampir sama, intensiti dan komposisi pengeluaran berbeza antara kumpulan,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu turut menunjukkan perbezaan corak penggunaan, apabila pencarum yang kerap membuat pengeluaran cenderung bergantung kepada Akaun Fleksibel untuk menampung perbelanjaan rutin dan bermusim.
Sebaliknya, pengguna yang jarang mengeluarkan simpanan lebih cenderung menyimpannya sebagai sokongan untuk keperluan sekali-sekala atau tidak tetap.
“Ini turut mencerminkan latar belakang sosioekonomi dan peringkat kehidupan. Ahli muda dan berpendapatan rendah lebih bergantung kepada pengeluaran untuk keperluan harian dan kos pengangkutan.
“Ahli lebih berusia dan berpendapatan tinggi pula cenderung mengeluarkan kurang kerap tetapi dalam jumlah lebih besar bagi perbelanjaan,” jelas laporan itu.
Laporan itu juga menekankan Akaun Fleksibel bukan sahaja membantu menampung keperluan wang tunai, malah berpotensi menjadi alat untuk membina ketahanan kewangan jangka panjang.
“Pada masa yang sama, langkah-langkah ekonomi yang lebih luas bagi menyokong pertumbuhan gaji, mengurangkan tekanan kos sara hidup serta integrasi lebih kukuh dalam sistem perlindungan sosial adalah penting,” ujarnya.







