
KUALA LUMPUR : Risiko ‘tiga kejutan serentak’ yang melibatkan tenaga, baja dan helium semakin menghampiri susulan ketegangan berterusan di Asia Barat sekali gus menuntut kerajaan bertindak lebih proaktif dari sekarang.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, krisis tersebut boleh tercetus sekiranya konflik terus memuncak, termasuk kemungkinan penutupan Selat Hormuz dalam tempoh yang lebih panjang.
Menurut beliau, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu, keadaan masih tidak stabil dan berisiko menjadi lebih buruk dalam jangka masa terdekat.
“Minyak adalah titik tekanan paling ketara. Namun, baja merupakan asas kepada pengeluaran makanan, manakala helium pula kritikal untuk sektor kesihatan dan industri berteknologi tinggi.
“Jika rantaian bekalan ini terganggu dalam tempoh yang panjang, kesannya tidak akan terhenti pada harga petrol semata-mata.
“Ia akan merebak kepada harga makanan, hasil pertanian, logistik, hospital, elektronik, gentian optik, semikonduktor dan sektor pembuatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Howard, kerajaan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen bagi menyediakan peruntukan strategik bersasar untuk melindungi rakyat, perniagaan dan pekerjaan daripada kesan berantai berkenaan.
Kata ahli Parlimen DAP itu, peruntukan tersebut pula mesti disertakan dengan bantuan, insentif dan subsidi khusus serta berasaskan hasil.
“Kita perlu menyokong hasil yang memastikan ekonomi terus berfungsi termasuk makanan dihasilkan, barangan dihantar, pesakit dirawat, pekerjaan dikekalkan, eksport diteruskan dan perkhidmatan asas dipelihara,” katanya.







