
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan Peguam Negara terhadap rayuan difailkan Badan Peguam berhubung keputusan menghentikan prosiding kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin, sekali gus menetapkan rayuan utama oleh Badan Peguam akan didengar pada petang ini.
Turut bersidang, Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Faizah yang membacakan penghakiman berkata kedudukan Peguam Negara untuk memohon Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan seterusnya membuat keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) terhadap kes terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) adalah dua isu yang berasingan.
Beliau berkata, hakikat perayu memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan NFA oleh Peguam Negara, tidak menjadikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA, sebagai akademik.
“Lebih-lebih lagi apabila masih wujud prosiding yang hidup dan berterusan untuk mencabar keputusan Peguam Negara untuk seterusnya mengklasifikasikan kes terhadap responden kedua sebagai NFA, dan permohonan pembebasan oleh responden kedua yang masih menunggu keputusan di Mahkamah Tinggi.
“Pada hemat kami, hakikat bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan seterusnya untuk mengklasifikasikan kes terhadap responden kedua sebagai NFA sebelum rayuan ini didengar, tidak menghalang mahkamah ini daripada mendengar rayuan sebenar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA,” katanya.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan pada 26 Jun 2024.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan pada 4 September 2023, dibatalkan.







