KUALA LUMPUR: Menyertai Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) sebagai pegawai pemasaran bukan sahaja membuka peluang kepada individu untuk berkhidmat dalam industri umrah, malah turut menawarkan pendapatan menarik serta peluang mengerjakan ibadah ke Tanah Suci.
Menurut seorang daripada pegawai pemasaran Andalusia, Annie Yusuf, 55, peluang bersama syarikat itu mengubah kehidupannya daripada kerjaya korporat kepada bidang yang lebih bermakna.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank tempatan, namun ketika menjadi ejen separuh masa Andalusia, jumlah jemaah di bawah saya semakin meningkat, jadi saya memilih untuk menjadi ejen sepenuh masa sehingga sekarang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Pegawai Pemasaran Andalusia 2.0 di sini, hari ini.
Annie berkata, hasil usaha dan kepercayaan jemaah terhadap jenama Andalusia, pendapatan bulanan yang diterimanya mampu mencecah antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan, selain menikmati pelbagai insentif termasuk peluang melancong dan menunaikan umrah bersama keluarga.
“Insya Allah pada 16 November ini saya akan menunaikan umrah bersama keluarga. Bagi saya, itu adalah antara rezeki hasil usaha gigih sebagai ejen Andalusia,” katanya.
Dia turut menzahirkan penghargaan terhadap pihak pengurusan Andalusia yang sentiasa memberi bimbingan, sokongan dan semangat kepada pegawai pemasaran dalam apa jua keadaan.
Dalam usaha berterusan menyemarakkan semangat beribadah dalam kalangan umat Islam, Andalusia meneruskan kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) iaitu inisiatif mingguan yang menawarkan pakej umrah percuma melalui cabutan bertuah.

Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk kereta, motosikal serta pelbagai barangan bernilai, dengan jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap Sabtu semasa Karnival JIMBA, dan boleh disaksikan secara langsung melalui akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.
