
KUALA LUMPUR: Polis sekali lagi memberi amaran keras kepada penganjur supaya tidak meneruskan himpunan menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dijangka berlangsung di Ampang Park esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lokasi yang dicadangkan hanya kira-kira 500 meter dari ‘zon merah’ Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menjadikannya tidak sesuai dari segi keselamatan.
Katanya, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur masih berdegil.
“Polis menghormati hak orang ramai untuk berhimpun, namun cadangan lokasi himpunan itu tidak sesuai berdasarkan risikan dan analisis keselamatan pihak kami bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Cadangan lokasi alternatif seperti Dataran Merdeka dan Padang Merbok sudah dikemukakan tetapi ditolak. Jarak Ampang Park hanya 500 meter dari zon merah ASEAN Summit, yang melibatkan laluan protokol dan hotel delegasi. Ia terlalu dekat.
“Maka himpunan tetap tidak dibenarkan. Jika pihak terbabit masih berdegil, polis akan suraikan dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran sidang kemuncak yang penting untuk meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Trump dijadual tiba di Malaysia esok untuk menyertai pemimpin serantau lain dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.






