
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuat penjelasan segera berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki jutaan saham.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan itu dipetik melalui laporan terkini media antarabangsa, Bloomberg.
Katanya, dakwaan itu perlu dipandang serius memandangkan ia bercanggah dengan peraturan perkhidmatan awam.
“Isu tersebut bukan sekadar melibatkan perkara peribadi, sebaliknya menyentuh integriti institusi penguatkuasaan tertinggi negara dalam usaha memerangi rasuah.
“Sehubungan itu, Anwar selaku Perdana Menteri yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam beberapa kali, didesak tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Fadhli, Perdana Menteri antaranya perlu menjelaskan status sebenar dakwaan pemilikan saham tersebut sama ada melanggar mana-mana pekeliling atau peraturan penjawat awam selain status pematuhan kewajipan pengisytiharan harta serta tindakan yang telah atau akan diambil oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, kegagalan Anwar memberikan penjelasan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat serta persepsi dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.
“Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama Bloomberg menyiarkan laporan yang menyentuh soal integriti kepimpinan tertinggi negara.
“Sekiranya kerajaan terus berdiam diri tanpa sebarang penjelasan yang telus dan meyakinkan, maka Azam wajar mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan atau perkhidmatannya ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM serta integriti institusi negara,” katanya.





