
AMPANG: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, sebelum tempoh penggal Parlimen berakhir pada Februari 2028.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan membubarkan Dewan Rakyat terletak pada prerogatif Perdana Menteri, sebelum cadangan berhubung perkara itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim apabila tiba masanya.
Menurut beliau, buat masa ini Kerajaan Persekutuan lebih memberi keutamaan kepada usaha memperbaiki kesejahteraan rakyat, di samping memastikan negara bebas daripada gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Bagi saya fokus ini yang penting. Tambahan, kerajaan ketika ini masih stabil. Jadi, kita tumpu yang ini terlebih dahulu.
“Jangan gusar, orang yang amanah dan bersih, tidak harus takut dengan langkah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia atau Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kita tak boleh terus biarkan keadaan sekarang.
“Saya tahu kerana saya pun ada hadapi beberapa tekanan dan cadangan, tetapi saya ambil keputusan seperti disampaikan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, iaitu kita dapat mandat mentadbir, urus dengan baik, bersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah dekat sini, hari ini.
Anwar berkata demikian kita diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh terbubar sendiri.







