
KUALA LUMPUR: Cadangan meletakkan bahagian pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) wajar diteruskan bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang, namun peranan pengawal selia itu perlu diperjelas supaya tidak mencampuri keputusan pelaburan harian.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berkata, keberkesanan cadangan itu bergantung kepada prinsip SC bertindak sebagai pengawal selia dan bukannya menjadi pihak yang membuat keputusan pelaburan bagi pihak TH.
“Pengawasan SC ialah pembaharuan yang perlu, tetapi ia bukan penyelesaian kepada semua masalah.
“Nilai sebenar langkah ini terletak pada keupayaan mewujudkan garis pemisah yang jelas antara kuasa politik, tanggungjawab ahli lembaga pengarah, kebebasan profesional pengurus dana dan kuasa penguatkuasaan pengawal selia,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Menurutnya, cadangan itu masih dalam proses diperhalusi dengan kerangka baharu yang mengekalkan TH sebagai satu institusi, namun mewujudkan fungsi pelaburan khusus yang dicadangkan sebagai ‘Dana Haji’ untuk didaftarkan atau dilesenkan di bawah SC.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka kekal memainkan peranan berkaitan deposit, kecairan dan risiko sistemik memandangkan antara 90 hingga 95 peratus aset TH dilaburkan dalam pasaran modal dan bukannya disimpan dalam bentuk tunai semata-mata.
“SC tidak boleh menjamin setiap pelaburan akan menghasilkan keuntungan. Apa yang boleh dilakukan ialah memastikan setiap keputusan dibuat menerusi proses profesional, boleh diaudit dan terlindung daripada arahan tidak formal,” katanya.
Samirul berkata, pengawasan SC juga boleh menetapkan mandat pelaburan dan alokasi aset yang lebih jelas, termasuk had pendedahan berdasarkan aset, sektor, negara serta pihak berkaitan.
Selain itu, katanya, aspek penilaian risiko, kecairan dan kepekatan portfolio perlu diberi perhatian, di samping dokumentasi usaha wajar, penilaian bebas dan pengurusan konflik kepentingan.
“Fungsi pelaburan, risiko, pematuhan dan penyelesaian transaksi juga perlu dipisahkan, selain laporan berkala yang disokong kuasa pemeriksaan dan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata, keperluan memperkukuh kawal selia itu penting kerana masalah lampau TH bukan hanya berpunca daripada turun naik pasaran.
Sebaliknya, katanya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenal pasti beberapa kelemahan termasuk proses kelulusan yang meragukan, penyembunyian maklumat, manipulasi laporan pelaburan, pembayaran tanpa cagaran mencukupi serta transaksi yang diteruskan walaupun terdapat kelemahan dalam proses usaha wajar.
“Daripada 14 pelaburan bermasalah, tujuh dilaporkan mengalami kerugian sepenuhnya.
“Dalam kes Al-Rawda, misalnya, bayaran pendahuluan melebihi RM1.5 bilion dibuat walaupun jaminan bank yang diminta oleh jabatan risiko tidak diperoleh.
“Kerugian itu bukan sekadar pelaburan yang tidak menjadi, sebaliknya mencerminkan kegagalan kawalan sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyifatkan langkah meletakkan cabang pelaburan TH di bawah kawal selia SC sebagai penambahbaikan strategik yang mampu memberi manfaat besar kepada pendeposit.
Beliau berkata, pengawasan berkanun itu membolehkan dana TH dikawal selia berdasarkan parameter yang lebih jelas, sekali gus meningkatkan ketelusan dan integriti dalam setiap keputusan pelaburan.
Menurutnya, langkah berkenaan juga membolehkan aktiviti pelaburan institusi pengurusan dana haji itu dipandu oleh piawaian tadbir urus yang lebih tinggi serta mematuhi standard pasaran yang diyakini.






