
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan liabiliti cukai melebihi AS$1 bilion bukan faktor yang menyebabkan rancangan penjualan tanah seluas 16.6 hektar miliknya di Singapura tertangguh.
Baginda sebaliknya menjelaskan bahawa jumlah liabiliti berkenaan tidak menjadi halangan kerana baginda bersedia melunaskannya sebagai sebahagian daripada urus niaga penjualan tanah tersebut.
“Sebagai pembayar cukai, perkara ini adalah normal. Tiada sebarang komplikasi dan saya berbesar hati untuk menyumbang kepada kedua-dua negara. Kalau boleh, jadikan jumlahnya dua kali ganda),” titah baginda dalam hantaran di platform X.
Bloomberg sebelum ini melaporkan levi dikenali sebagai ‘land betterment charge’ menjadi antara perkara yang menghalang rundingan antara Tunku Ismail dengan bakal pembeli tanah berkenaan.
Pada Mac lalu, Urban Redevelopment Authority (URA) Singapura memaklumkan bahawa Tunku Ismail telah mengemukakan permohonan untuk membangunkan tanah berkeluasan 16.6 hektar itu sebagai kawasan kediaman.
Cadangan berkenaan turut membabitkan perubahan zon pembangunan bagi membolehkan tapak tersebut dibangunkan dengan rumah banglo berstatus ‘Good Class Bungalow’ (GCB), selain kediaman bertingkat rendah.
Ketua Pegawai Penyelidik portal hartanah tempatan Mogul.sg, Nicholas Mak, menganggarkan nilai tanah berkenaan boleh mencecah antara S$3.8 bilion hingga S$4.7 bilion sekiranya permohonan penukaran zon pembangunan itu diluluskan.






