
KUALA LUMPUR: Daerah Serian, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, sekali gus berada pada tahap ‘darurat’ setakat pukul 2 petang hari ini.
Berdasarkan semakan Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Serian merekodkan bacaan IPU 521.
Sementara itu, Kuching turut merekodkan bacaan pada tahap berbahaya dengan IPU 311.
Dua lagi lokasi iaitu Samarahan dan Sri Aman pula masing-masing mencatatkan bacaan 284 dan 235, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sebanyak 11 lokasi lain merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Lokasi terbabit ialah Sarikei (182), Sibu (181), Mukah (177), Bintulu (157), Kota Kinabalu (152), Tawau (151), Samalaju (146), Sandakan (140), Pasir Gudang, Johor (128), Segamat, Johor (115) dan Miri (112).
Berdasarkan kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Bacaan melebihi 300 pula berada pada tahap berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Bacaan melebihi 500 pula dianggap menunjukkan tahap pencemaran yang amat ekstrem dan berpotensi membawa kepada tindakan kecemasan oleh pihak berkuasa, bergantung kepada keadaan semasa.






