
KUALA LUMPUR: Empat daripada enam suspek yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia, dikesan melarikan diri ke luar negara selepas mengetahui lelaki berusia 39 tahun itu ditahan.
Keempat-empat suspek berkenaan dipercayai melarikan diri ke Thailand dan Vietnam selepas pembantu juruterbang terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten pada 28 Julai lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keenam-enam suspek bagaimanapun berjaya ditahan antara 20 hingga 28 Ogos lalu.
“Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya melarikan diri ke luar negara, iaitu dua ke Thailand dan dua lagi ke Vietnam.
“Dua suspek yang melarikan diri ke Thailand ditahan ketika kembali ke Malaysia dengan menaiki feri di Kuah, Langkawi, Kedah,” katanya.
Menurutnya, dua lagi suspek yang melarikan diri ke Vietnam ditahan ketika kembali ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.
“Dua lagi baki suspek masing-masing ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Klang, Selangor,” katanya.
Hussein berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 50 tahun kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi membantu siasatan.
Katanya, mengikut peruntukan akta berkenaan, polis mempunyai kuasa menahan mana-mana suspek sehingga 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.
“Sebahagian hasil siasatan berkaitan kes ini akan dikongsi dengan Polis Republik Indonesia (Polri) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian 28 Julai lalu, pembantu juruterbang terbabit ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan MH727.
Penahanan itu dibuat selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik lelaki berkenaan sebagai mencurigakan menerusi imbasan sinar-X.
Bagasi itu kemudian diperiksa sebaik dituntut sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Pemeriksaan turut menemukan empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM45 juta.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, pembantu juruterbang terbabit dipercayai dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta sebelum ia diserahkan kepada individu lain dari sebuah hotel.






