
KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim menegaskan pandangan serta suara mahasiswa berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak akan diabaikan atau dibiarkan tanpa sebarang tindakan lanjut.
Katanya, kementerian memberi jaminan mahasiswa bebas menyatakan pendirian termasuk mengemukakan kritikan atau bantahan terhadap isu pendidikan tinggi, khususnya berkaitan AUKU tanpa perlu rasa takut atau tertekan.
“Semua pandangan itu kami terima sebagai tanggungjawab bersama, sama ada di peringkat kementerian mahupun sebagai tanggungjawab moral kepada semua pihak yang hadir hari ini.
“Kami memberi jaminan bahawa langkah sewajarnya akan diambil khususnya dalam memastikan keperluan dan tuntutan mahasiswa yang disuarakan melalui pelbagai saluran seperti protes, penulisan, kritikan serta kerja-kerja advokasi yang dijalankan secara bebas dan berdikari tidak diketepikan.
“Perkara ini tidak akan disapu di bawah karpet atau sekadar dijawab dengan projek tanpa sebarang maklum balas yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada wakil kumpulan mahasiswa di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut Adam Adli, kementerian mengambil maklum serta menghargai setiap pandangan dan tuntutan yang disuarakan, selain komited memberi perhatian serius bagi memastikan perkara berkenaan ditangani secara berhemah dan berkesan.
“Walaupun ayat dan komitmen yang diberikan hari ini mungkin dirasakan belum mencukupi, kami memberi jaminan bahawa akan ada perkembangan yang diperlukan ke arah tindakan yang lebih besar.
“Perkara ini pernah dilakukan sebelum ini dan kami percaya perubahan boleh dicapai sama ada melalui meja rundingan, pentas desakan, jalanan mahupun dalam ruang universiti,” katanya.







