
SEREMBAN : Pelakon Azar Azmi atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35 memohon diberi ruang berhubung kes suaminya yang berdepan dua pertuduhan menipu berkaitan urusan mendapatkan darjah kebesaran Datuk serta tanah kurniaan negeri Selangor melibatkan kerugian berjumlah RM293,931, tahun lalu.
Katanya, akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan dalam kes berkenaan.
“Saya minta maaf ya, kalau boleh bagi ruang kepada saya. Insya-Allah, kalau ada apa-apa saya beritahu.”
Baru-baru ini, pelakon wanita berkenaan bersama suaminya sekali lagi ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan yang didakwa melibatkan urusan penjualan lembu kepada orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika itu berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan lanjut.
Bagaimanapun, suaminya Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas pertuduhan didapati dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Dato’ Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2 antara 2 April hingga 12 November 2025.





