KUCHING: Sebanyak 28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan susulan bencana banjir.
Pengarah Pendidikan negeri, Omar Mahli berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan berbanding 26 sekolah yang dilaporkan sebelum ini selepas pemantauan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat.
“Pada awalnya, sebanyak 42 sekolah dilaporkan terjejas namun hasil perbincangan dan penilaian semula, jumlah itu dikurangkan kepada 26.
“Bagaimanapun, malam tadi PPD Dalat melakukan pemantauan, dua lagi sekolah yang memang dimasuki air tidak dapat beroperasi, menjadikan 28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi pagi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya hari ini.
Omar berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak belum menerima sebarang laporan kerosakan serius melibatkan aset sekolah kerana langkah awal telah diambil dengan mengarahkan pihak sekolah memindahkan peralatan ke tempat lebih selamat.
Katanya, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disaran sebagai alternatif terbaik bagi sekolah terbabit memandangkan minggu pertama persekolahan memberi tumpuan kepada sesi suai kenal serta pembelajaran santai.
Sementara itu, di Sabah, tujuh buah sekolah rendah tidak dapat dibuka pada hari pertama sesi persekolahan akibat terjejas bencana banjir dan runtuhan tanah.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Raisin Saidin memaklumkan, daripada jumlah itu, enam di Beaufort masih terkesan akibat banjir manakala sebuah lagi di Tenom berdepan isu keselamatan berikutan runtuhan tanah di kawasan sekolah.
Beliau berkata, sekolah terbabit diberi pilihan sama ada mengadakan kelas PdPR sepanjang penutupannya atau membuat kelas ganti pada hari Sabtu apabila sekolah dibuka semula nanti.
“Sekolah berkenaan hanya dibuka selepas keadaan pulih sepenuhnya dan selamat untuk murid serta guru kembali ke sekolah,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau hari pertama persekolahan di SMK Trus Madi di Keningau.
Enam sekolah yang terjejas di Beaufort ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak, SK Garama, SK Jabang, SK Kebulu, SK Lago dan SK Suasa membabitkan 364 murid manakala di Tenom ialah SK Simpang dengan 60 murid.
