
KUALA LUMPUR: Kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung pada dasar dan peruntukan semata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sistem pendidikan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
“Hubungan mantap antara semua pihak ini penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Anwar bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BPA).
BPA merupakan inisiatif penting untuk meringkankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.
Anwar berkata, dalam lawatan tersebut, beliau berpeluang bertemu dan menyantuni anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan.
“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa, tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.
“Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri,” ujarnya.




