
TAWAU: Sejumlah 9,800 anggota pelbagai agensi kerajaan meliputi 7,000 aset operasi telah diatur gerak bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan bailey sebagai persediaan menangani masalah jalan putus akibat banjir.
“Jika ditakdirkan ada jalan-jalan putus, kita telah menyediakan tujuh jambatan bailey di Semenanjung, tiga untuk Sabah dan empat di Sarawak.
“Kita juga sedang memobilisasikan jambatan bailey ini dengan menambah jumlahnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksplorasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Komuniti di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kerajaan telah menyediakan 9,058 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung sehingga 2.189 juta mangsa banjir di seluruh negara.
“Kita harus bersiap siaga kerana di Vietnam dan Filipina mengalami luruan hujan sangat luar biasa, jadi di utara Semenanjung dan di pantai timur kawasan-kawasan dahulunya yang tidak berlaku banjir, kini banjir termasuk di Bagan Datuk.
“Bagan Datuk terdapat empat PPS dibuka, selama berpuluh-puluh tahun kawasan ini tidak banjir, tetapi di rumah, kampung saya juga dinaiki air,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi terlibat memperkukuh kesiapsiagaan memandangkan statistik semasa menunjukkan 188 PPS telah dibuka di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 22,000 mangsa banjir.





