
KUALA LUMPUR : Skuad Ihsan MADANI 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai agensi berkaitan untuk digerakkan semasa situasi kecemasan dan bencana, rasmi diperkenalkan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, menjelaskan penubuhan skuad ini dibuat pada waktu yang sangat relevan susulan negara kini berdepan Monsun Timur Laut serta peningkatan jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di beberapa negeri.
“Selepas ini, skuad akan menyusun perancangan dan menentukan penugasan mengikut negeri terjejas. Skuad ini sebenarnya telah wujud sebelum ini, namun pada tahun ini ia disusun secara lebih berstruktur,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran bersempena Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 di sini.
Mohd. Na’im turut menyeru orang ramai agar menyalurkan bantuan kepada Tabung Musa’adah Bencana yang dikendalikan oleh JAKIM bersama Yayasan Wakaf Malaysia. Tabung itu diwujudkan khusus untuk menyokong mangsa banjir, manakala butiran akaun akan dimaklumkan kepada masyarakat dalam waktu terdekat.
“Saya percaya rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah, dan sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu mangsa yang terjejas,” katanya.





