
KUALA LUMPUR : Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, mengumumkan keputusan melepaskan jawatan.
Dalam kenyataan yang dikongsikan di platform X, beliau memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Isnin.
Langkah berkenaan muncul kurang seminggu selepas Perdana Menteri menzahirkan teguran tegas terhadap Shamsul Iskandar berhubung tindakan mengeluarkan surat sokongan kepada seorang kontraktor bagi projek pembinaan hospital pada tahun lalu.
Peletakan jawatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital yang tular baru-baru ini.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya dalam hantaran di platform X, petang ini.
Ketika di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar menegaskan sudah menegur tindakan Shamsul Iskandar itu dan menjelaskan, peraturan serta prinsip kerajaan tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
Perkara itu dibangkitkan pembangkang berhubung tindakan Shamsul Iskandar yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).





