
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Tan Kim Loong dan Low May Lin, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low), membayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1MDB selepas didapati menerima serta menyembunyikan dana yang diselewengkan.
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan perkara itu selepas membenarkan tuntutan 1MDB, mengarahkan Tan atau Eric Tan membayar AS$2.795 bilion, manakala May Lin diperintah membayar AS$809,319.
Menurut Mahazan, bukti dikemukakan 1MDB bersama empat anak syarikatnya jelas menunjukkan wujudnya penyelewengan dana secara rumit dan berlapis yang dilakukan individu berkedudukan, disokong rangkaian luar pesisir dan sekutu dipercayai, termasuk kedua-dua defendan.
Bukti tersebut merangkumi rekod korporat, carta aliran dana, dokumen bank serta keterangan saksi yang tidak dicabar mana-mana pihak.
Mahazan berkata, plaintif berjaya membuktikan penyelewengan itu berlaku dalam empat fasa, iaitu Good Star (2011), Aabar (2012), Tanore (2013) dan Options Buyback (2014).
Dalam setiap fasa, katanya, wang yang sepatutnya digunakan bagi projek negara dialihkan dengan pantas ke entiti luar pesisir yang dikawal Jho Low dan sekutunya.
Mahkamah turut mendapati Tan, sekutu rapat Jho Low, merupakan pemilik benefisial akaun Alsen Chance dan Blackstone, yang menerima AS$2.795 bilion diselewengkan daripada 1MDB.
May Lin pula, kakak Jho Low, didapati menerima AS$809,319 dalam akaun peribadinya hasil empat pemindahan daripada bapa mereka, Low Hock Peng.
“Pemindahan ini tiada justifikasi, tiada rasional komersial dan bersumber daripada dana yang diseleweng melalui struktur Good Star.
“Sebagai kakak Jho Low, peranan beliau selaku benefisiari peribadi dana itu selari dengan corak penyembunyian berasaskan keluarga yang lebih luas,” kata Mahazan.
Mahkamah juga memutuskan keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menunjukkan bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Najib Razak, melaksanakan kawalan de facto ke atas keputusan kewangan 1MDB.
Walaupun Jho Low tidak memegang jawatan rasmi, beliau bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan yang diberikan kuasa oleh Najib.
Perbicaraan berlangsung tanpa bantahan dengan keterangan turut diberikan oleh pakar pemulihan aset Angela Barkhouse dan penyiasat penipuan kewangan Richard Templeman pada 6 Oktober.
Tan dan May Lin tidak memfailkan pembelaan atau hadir ke mahkamah walaupun kertas kausa telah diserahkan kepada mereka.
1MDB diwakili peguam K. Siva Kumar dan Lee Shih.
Mahkamah turut memerintahkan kos RM500,000 dibayar kepada 1MDB.






