
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan bantuan tunai sebanyak RM500 akan disalurkan kepada 750 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir baru-baru ini.
Menurut beliau, pejabat daerah turut menyediakan pengangkutan percuma bagi 221 calon SPM yang terjejas untuk berulang-alik dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke pusat peperiksaan.
“Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir supaya urusan peperiksaan mereka dapat diteruskan dengan lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan.
Amirudin berkata, beliau sudah mengarahkan projek tebatan banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi dipercepatkan.
“Usaha ini akan dipantau dan diperincikan petang ini oleh Izham Hashim, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani,” jelasnya.
Sementara itu, seramai 2,784 mangsa kini ditempatkan di 21 PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Semalam, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara memaklumkan bahawa Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang kekal berisiko tinggi dengan banjir dijangka berterusan sehingga hari ini.
Kawasan berhampiran sungai utama seperti Sungai Buloh, Sungai Klang, Sungai Damansara dan Sungai Langat turut dikenal pasti sebagai lokasi yang paling mungkin terjejas.







