
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini bertitah segala keperluan mangsa banjir di semua pusat pemindahan sementara (PPS) dipastikan mencukupi susulan pertambahan jumlah penduduk yang terjejas di seluruh negara.
Dalam hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menegaskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu memastikan setiap PPS berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu menampung keperluan mangsa.
“Pastikan kemudahan asas, bekalan makanan dan perubatan tersedia dengan mencukupi.
“Rakyat juga diingatkan supaya mematuhi arahan pemindahan dan tidak mengambil risiko berada di kawasan berbahaya,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan serta pihak berkaitan yang sedang bertungkus-lumus membantu mangsa di kawasan terjejas.
Seri Paduka Baginda dalam masa sama menzahirkan doa agar semua mangsa banjir diberi perlindungan dan ketabahan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian bencana alam tersebut.





