
KUALA LUMPUR: Proses pembayaran wang pampasan berjumlah antara RM198,000 hingga RM2.9 juta kepada penduduk di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan di kawasan itu telah selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah pampasan itu mengambil kira nilai pasaran yang ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mengikut kategori jenis rumah.
Beliau berkata, semua bayaran pampasan disalurkan kepada penduduk antara Februari 2022 hingga Januari 2023.
“Nilai pampasan itu turut merangkumi kos pindah, sewaan, fi penilaian serta kos kehilangan pendapatan. Fakta ini menangkis tuduhan bahawa ada penduduk yang masih tidak menerima pampasan.
“Malahan, pampasan turut dibayar bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga kepada penyewa semasa pengambilan dijalankan yang merangkumi nilai kerugian sewa semasa dan kos pindah,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri berkenaan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru Ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu Di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha berkata, jumlah pampasan yang ditawarkan kepada penduduk ketika pengambilan tanah berlaku adalah lebih menguntungkan berbanding nilai sebenar pasaran.
Beliau berkata, rekod jual beli pada 2015 dan 2019 menunjukkan harga pasaran asal jauh lebih rendah iaitu unit flat sekitar RM120,000 hingga RM180,000 manakala rumah teres pula sekitar RM200,000 hingga RM480,000.
Katanya, sekiranya terdapat pemilik yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diberikan, mereka boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada dan kerajaan sentiasa menghormati keputusan mahkamah.
“Sekiranya mahkamah memutuskan pemaju perlu menaikkan nilai pampasan, pemaju perlu melaksanakannya. Namun, jika mahkamah memutuskan nilai pampasan itu kekal maka pemilik juga perlu akur dan menghormati keputusan tersebut.
“Namun begitu, perbicaraan kes ini tidak menghalang pembangunan Kampung Sungai Baru diteruskan,” katanya.
Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika itu turut menawarkan penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Bukit Jalil, Sri Aman dan Residensi Sungai Udang kepada mereka yang tidak bersetuju sebagai langkah menyantuni mereka yang terkesan dengan pengambilan tanah tersebut.