
JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu keputusan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dicapai sebulat suara selepas diputuskan 10 pemimpin negara ASEAN.
Beliau berkata keputusan itu bukan hanya diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia menjadi pengerusi kepada Sidang Kemuncak ASEAN, lazimnya kita punyai rakan dialog terutama AS, Jepun, China dan pelbagai negara lain.
“Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke 46 lalu, kita mengadakan sidang kemuncak bersama dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pada kali ini sidang kemuncak itu kita buat sama sebagai rakan ASEAN termasuk AS.
“Ini bukan keputusan PMX (Anwar Ibrahim) sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi keputusan sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog kita, dan Trump adalah Presiden AS,” katanya selepas Majlis Pelancaran Skuad YPM peringkat negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, kehadiran Trump bagaimanapun tidak menggugat pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak Gaza, Palestin.
“Ini tidak menghentikan untuk pendirian (tidak setuju) kita jika ada campur tangan dari AS terhadap apa yang berlaku di Gaza. Pendirian itu tidak mengubah kedudukan kita dan secara rasionalnya pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin negara ASEAN,” katanya.
Ketika ditanya sama ada isu kehadiran Trump akan dibahas di Parlimen esok, beliau memberitahu wujud kemungkinan ia dibangkitkan oleh kalangan ahli Parlimen.
“Ya, mungkin ada Ahli Parlimen yang akan bahaskan isu ini dan mereka boleh buat demikian tetapi kita harus hormati keputusan dibuat sekretariat ASEAN terutama keputusan yang dibuat 10 pemimpin ASEAN.
“Pada kali ini Sidang Kemuncak ke 47 akan terima Timor Leste sebagai negara ke-11 yang akan anggotai ASEAN,” katanya.





